Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta supaya kerajaan persekutuan memberi peruntukan sama rata kepada Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 baru-baru ini yang turut mendapat persetujuan dua per tiga Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Tetapi, pada akhirnya itu bukan yang kita betul-betul mahu, rakyat Sabah mahu adalah pembangunan sama rata, layan kami sebagai rakan sekutu, jadi pembangunan perlu sama rata.
“Sebab 60 peratus tanah berada di Sabah dan Sarawak, hanya 40 peratus sahaja di Semenanjung. Kalau ikut keluasan itu bermakna Sabah dan Sarawak patut terima peruntukan lebih besar dari Semenanjung.
“Sebab itu saya minta kerajaan Persekutuan perlu ubah pendekatan baharu untuk membangun Sabah dan Sarawak,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, Sabah sudah lama ketinggalan dan pembangunan di Sabah perlu dirancakkan lagi.
“Untuk merancakkannya, saya beritahu Kementerian Kewangan bahawa tender terbuka tidak sesuai sudah di Sabah.
“Bagi kita Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), Persekutuan sediakan wang. Tetapi kalau masih prosedur operasi standard (SOP) sekarang ini tender terbuka, akhirnya perkara sebulan boleh jadi setahun dan tidak selesai, tidak berjalan, akhirnya Sabah akan terus ketinggalan,” katanya.
Bung Moktar bagaimanapun turut memberi cadangan kepada kerajaan Persekutuan supaya peruntukan diberikan terus kepada kerajaan negeri.
“Cara terbaik bagi peruntukan dengan kerajaan Sabah, biar kita urus lantikan konsultan, buat reka bentuk baharu dan ini boleh percepatkan pembangunan untuk Sabah,” katanya.
Terdahulu, hadir sama pada majlis itu Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.
-Deasoka