Perlu gubal undang-undang lindungi sungai di Sabah – Bung Moktar

Perlu gubal undang-undang lindungi sungai di Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Satu undang-undang khusus untuk melindungi sungai di Sabah perlu digubal supaya dapat mengheret pesalah yang melakukan pencemaran sungai di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata banyak sungai di negeri ini sudah dicemari disebabkan pelbagai aktiviti namun tiada undang-undang yang dapat mengheret penceroboh sungai berkenaan.

Katanya, masalah air di negeri ini juga berpunca daripada masalah sungai yang kini telah dicemari.

“Ini disebabkan kita tidak ada undang-undang yang boleh mengheret penceroboh termasuk syarikat-syarikat besar yang menceroboh tebing sungai dengan tanaman kelapa sawit.

“Seharusnya tebing-tebing sungai ini tidak boleh diganggu atau ditanam apa juga objek sebab sungai itu akan tercemar tetapi oleh kerana tiada akta, maka hampir seluruh sungai di Sabah ini sudah dicemari. Jadi untuk memulihkannya ini kepada jernih memang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kerajaan Persekutuan telah menggazetkan sungai sebagai kawasan yang tidak boleh diceroboh dan penceroboh boleh didakwa serta denda di mahkamah.

“Saya telah menyahut pemakluman ini dan saya akan bawa enakmen ini ke Sabah untuk kita ‘endorse’ bersama-sama untuk melihat sungai kita di Sabah.

“Kita akan bincang dulu di peringkat kementerian dan pegawai dan seterusnya Kabinet serta Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Sebelum itu, beliau turut menyarankan supaya diwujudkan renjer sungai untuk menjaga tebing sungai supaya tidak dicemari.

“Kalau kita lihat di Eropah, mereka ada renjer sungai untuk menjaga keharmonian sungai tetapi di Malaysia ini belum ada renjer jadi sewenang-wenangnya orang membuat pencemaran sungai.

“Jadi kalau ada renjer sungai, kita latih sekurang-kurangnya setiap tebing sungai ada yang memerhati dan membuat laporan tetapi sebab kita tidak ada akta-akta yang seumpama ini maka kita tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|