Sistem RTS guna ‘skytrain’ bakal dibina di KK

Sistem RTS guna ‘skytrain’ bakal dibina di KK

Kota Kinabalu: Bandar raya Kota Kinabalu bakal memiliki perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih moden dan selesa dengan terlaksananya cadangan projek Sistem Transit Rapid (RTS) menggunakan ‘skytrain’ di bandar raya ini.

Projek yang pertama seumpamanya di Sabah itu dianggarkan bernilai RM2.425 bilion dilaksanakan secara usahasama oleh empat syarikat termasuk cabang pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Bhd (QSB).

Dalam satu kenyataan, QSB berkata pihaknya menerusi WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB) bekerjasama dengan Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangcai China (M) Sdn Bhd untuk melaksanakan projek itu.

Semalam, wakil keempat-empat syarikat terbabit menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka lebih lanjut pelaksanaan projek itu selain cadangan pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 64 hektar di Tanjung Lipat.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi QSB, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

MoU berkenaan bagi mewujudkan kerjasama rasmi tanpa ikatan berkaitan persediaan dan pelaksanaan projek sehingga selesai rundingan akhir ke arah ikatan perjanjian rasmi di antara semua pihak.

Perkhidmatan ‘skytrain’ itu dicadang dibina menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke pusat bandar raya Kota Kinabalu hingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Alamesra di Likas dengan jarak sejauh kira-kira 25 kilometer.

Menerusi kenyataan dikeluarkan QSB, fasa pertama projek ‘skytrain’ itu yang bermula dari KKIA ke pusat bandar raya sejauh 10.5 kilometer dijangka mengambil masa tiga tahun untuk dibina membabitkan kos hampir RM1 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh sekumpulan pelabur.

Projek fasa pertama itu merangkumi pembinaan beberapa stesen atau terminal ‘skytrain’ iaitu KK Central, Jalan Gaya dan berakhir di terminal Jesselton New City.

Jesselton New City ialah sebuah kawasan pembangunan bercampur yang dilaksanakan serentak dengan anggaran kos RM5 bilion dan mengambil masa sehingga enam tahun untuk disiapkan.

“Cadangan awal menetapkan satu konsesi pengurusan mengoperasikan perkhidmatan ‘skytrain’ menggunakan ‘kenderaan tujuan khas’ (SPV) dengan pegangan entiti dalam bentuk perkongsian bebas dan dimiliki oleh kerajaan negeri. Ini akan diwujudkan pada peringkat seterusnya,” katanya.

Bagi projek fasa dua ‘skytrain’, yang dikenali sebagai KKIA Express Line 2 sejauh 15 kilometer akan bermula dari Jesselton New City ke Menara Kinabalu (Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah), Pusat Pentadbiran Persekutuan Sabah, UMS dan pusat komersial Alamesra di Likas dengan anggaran kos RM1.425 bilion menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|