Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Sabah

Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Sabah

Kota Kinabalu: Pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 mensasarkan lebih banyak rumah mampu milik termasuk di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar Sabah (LPPB) juga sedang dalam usaha membina 175 rumah kos rendah di Kemabong, Sukau, Melalap dan Beluran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, usaha yang diambil oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai orang memiliki rumah.

“Kerajaan GRS akan memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di negeri ini dari semasa ke semasa.

“LPPB juga sudah menyiapkan sebanyak 29,218 rumah kos rendah di seluruh negeri sejak Rancangan Malaysia Pertama sehingga RMK11,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah cadangan pembangunan 441 unit kondominium di Signal Hill, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pada masa ini, sebanyak 32 projek PPR sudah dibina di Sabah yang membabitkan 21,800 unit rumah.

“Empat projek PPR kini dalam pembinaan di Pitas, Tagasan (Semporna), Kionsom (Inanam) dan Lahad Datu.

“Mengenai projek kondominium yang sedang diusahakan KPLB melalui MARA bersama Kerajaan Negeri, ia adalah projek yang baik kerana ia dapat menarik minat pelabur asing ke Sabah menerusi program Malaysia Rumah Keduaku,” katanya.

Hajiji berkata, pembinaan projek itu akan menawarkan peluang pekerjaan yang berpotensi kepada 1,000 penduduk tempatan selain mewujudkan spin-off ekonomi di kawasan sekitar.

“Saya percaya masa projek itu adalah tepat kerana kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dan pelancongan.

“Pelabur yang datang ke negeri ini pastinya memerlukan kemudahan asas termasuk rumah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|