KPTM cawangan Semporna rugi RM28 juta

KPTM cawangan Semporna rugi RM28 juta

Kota Kinabalu: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna di Sabah yang akan ditutup pada tahun hadapan mengalami kerugian sebanyak RM28 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPTM perlu menanggung kos operasi sendiri termasuk dari segi bayaran gaji tenaga pengajar dan perbelanjaan lain.

“Kita sebenarnya serba salah bercakap mengenai isu ini kerana ia tempat pelajar-pelajar bumiputera belajar tetapi kita terpaksa melihat perkara ini iaitu penutupan secara berperingkat.

“Jumlah kapasiti untuk di KPTM Semporna maksimum 600 pelajar tetapi sekarang yang ada di situ 169 orang. Walaupun Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini kerajaan tetapi sebenarnya kolej dia macam swasta juga.

“Kita kena bayar guru sebab kita tiada peruntukan dari kerajaan untuk bayar guru. Kena beroperasi sendiri, kena ada pendapatan suku setiap tahun. Jadi selepas itu baru kita dapat bayar penyelenggaraan dan sekarang kita mengalami kerugian RM28 juta,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah bagi cadangan pembangunan kondominium Signal Hill, Kota Kinanalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penutupan sepenuhnya operasi di KPTM cawangan Semporna yang dijadualkan pada Julai tahun hadapan.

Sementara itu, bercakap berhubung majlis itu, projek pembangunan kondominium terbabit dianggarkan menelan kos sebanyak RM500 juta.

“Projek ini dijangka menyediakan 2,000 peluang pekerjaan dan bukan itu saja, ia turut memberikan peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah serta memberi peluang kepada golongan peniaga bumiputera yang terkesan ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda negara,” katanya.

Projek pembangunan itu menawarkan sebanyak 441 unit kediaman dengan gaya hidup moden yang menitikberatkan aspek keselamatan penghuninya.

Sebelum itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hadir merasmikan majlis pecah tanah bagi cadangan pembangunan Kondominium Signal Hill, Kota Kinabalu.majlis pecah tanah bagi cadangan pembangunan Kondominium Signal Hill, Kota Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|