Covid-19 Sabah: Kes kembali naik selepas lima hari turun

Covid-19 Sabah: Kes kembali naik selepas lima hari turun

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah kembali meningkat kepada 401 kes hari ini selepas mencatat penurunan selama lima hari berturut-turut dengan jumlah terendah 342 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peningkatan mendadak itu antara lain berpunca daripada kenaikan kes di 18 daerah, berbanding lima daerah mencatat penurunan dan empat daerah tiada perubahan kes.

“Sebanyak 18 daerah di negeri Sabah hari ini merekodkan peningkatan kes dengan enam daripadanya mencatatkan peningkatan yang agak tinggi.

“Lima daerah mencatatkan penurunan kes namun hanya daerah Kinabatangan mencatatkan penurunan signifikan iaitu turun 70 kes berbanding semalam.

“Empat daerah lagi iaitu Semporna, Nabawan, Kunak dan Kalabakan mengekalkan catatan seperti semalam iaitu sifar kes,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Antara daerah mencatat kenaikan kes agak tinggi hari ini ialah Kota Marudu yang menyaksikan peningkatan kepada 26 kes berbanding lapan kes semalam, diikuti Kuala Penyu dengan 23 kes berbanding sembilan kes semalam.

Turut mencatat kenaikan mendadak ialah Tenom iaitu kepada 21 kes berbanding tujuh kes semalam, diikuti Beaufort yang meningkat kepada 19 kes berbanding tujuh kes semalam dan Kudat yang menunjukkan peningkatan kepada 19 kes berbanding lima kes semalam.

Daerah Beluran yang tidak mencatat sebarang kes baharu semalam turut mencatat kenaikan mendadak kepada 11 kes baharu hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata daerah Kota Kinabalu kembali mencatat kes tertinggi di Sabah dengan 53 kes hari ini berbanding 59 kes di belakang Kinabatangan, semalam.

“Jumlah berkurangan sedikit berbanding semalam namun agak membimbangkan kerana 30 daripada 53 kes yang direkodkan di Kota Kinabalu berpunca daripada kes sporadik atau kes bergejala,” katanya.

Masidi berkata, jampir 97 peratus daripada semua kes di Sabah hari ini dalam Kategori 1 dan Ketagori 2, manakala masing-masing empat pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 4 serta satu pesakit dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 30 November 2021
Sabah 401 (342)

Kota Kinabalu 53 (59)
Tuaran 49 (44)
Penampang 31 (25)
Kota Belud 31 (23)
Kota Marudu 26 (8)
Kuala Penyu 23 (9)
Papar 23 (20)
Tenom 21 (7)
Beaufort 19 (7)
Kudat 19 (5)
Keningau 16 (11)
Kinabatangan 15 (85)
Putatan 14 (8)
Beluran 11 (0)
Ranau 10 (8)
Sipitang 9 (2)
Tongod 8 (1)
Pitas 7 (1)
Tambunan 5 (4)
Lahad Datu 5 (4)
Sandakan 3 (4)
Tawau 2 (5)
Telupid 1 (2)
Semporna 0 (0)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 29 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|