Dua pendaki Gunung Kinabalu cedera diselamatkan

Dua pendaki Gunung Kinabalu cedera diselamatkan

Kundasang: Dua pendaki gunung cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui di kilometer 7.5 Summit Trail dalam keadaan sedarkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama empat malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 9.30 pagi, mangsa pertama didapati cedera di bahagian lutut namun masih mampu untuk bergerak sendiri turun ke kaki gunung.

“Mangsa kedua pula didapati bengkak di bahagian lutut kanan dan disyaki mengalami kecederaan retak tempurung lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat kemudiannya memberikan rawatan awal dengan mencuci luka kepada mangsa.

Katanya, mangsa kedua diberikan balutan anduh sebelum diangkat menggunakan stretcher untuk turun ke kaki gunung.

“Kedua-dua mangsa bersama pasukan penyelamat masih dalam perjalanan turun dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|