Sistem pendawaian premis perlu ikut akta: Suruhanjaya Tenaga

Sistem pendawaian premis perlu ikut akta: Suruhanjaya Tenaga

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan pengguna di negeri ini supaya memastikan sistem pendawaian elektrik di setiap premis dipasang mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Pengarah Kawasan ST Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri, berkata pengguna juga perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Elektrik dan keperluan teknikal standard yang ditetapkan suruhanjaya berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana risiko berlaku kemalangan yang mampu meragut nyawa sangat tinggi jika pemasangan elektrik yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Kita mahu mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan dan kecelakaan yang mampu meragut nyawa. Atas sebab itu sebarang pemasangan yang berkaitan dengan tenaga dan pendawaian perlu mengikut spesifikasi dan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Touchpoint ST di Karambunai hari ini.

Jelasnya, ST sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya pemasangan sistem pendawaian secara haram.

“Selain itu, kita juga memperbanyakkan program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), seperti yang kita lakukan hari ini yang melibatkan dua dewan masyarakat dan sebuah masjid.

“Melalui program ini, kita menjalankan kerja penambahbaikan bagi sistem pendawaian sedia ada yang usang selain menjalankan kerja pemasangan sistem pendawaian baharu bagi premis yang belum mempunyai bekalan elektrik.

“Kita menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem pendawaian bersama kakitangan dan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST,” katanya.

Beliau berkata, kerja penambahbaikan itu mula dilakukan sejak November lalu bermula dengan penambahbaikan Peranti Arus Baki (PAB) pada papan agihan yang didapati tidak menepati standard piawaian ST.

“Kita semua mesti faham dan sedar bahawa pemasangan alat perlindungan PAB yang sesuai dan berkesan untuk pengguna mampu menyelamatkan dan mengurangkan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Kita mahu melindungi pengguna daripada terlibat dengan kemalangan yang tidak diduga seperti terkena renjatan elektrik apabila terdapat kebocoran arus atau litar pintas.

“ST turut berharap agar masyarakat lebih berhati-hati ketika musim banjir bagi mengelakkan kemalangan elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan dan lebih buruk lagi membawa maut,” katanya.

Beliau berkata, pendawaian dan pembumian rumah perlu diperiksa, dibaiki dan diuji oleh kontraktor elektrik serta disahkan selamat oleh pengawai elektrik yang berdaftar dengan ST sebelum memasang suis utama elektrik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|