UMNO Sabah akur keputusan parti berkaitan PRU-15

UMNO Sabah akur keputusan parti berkaitan PRU-15

Kota Kinabalu: “Kita akan akur apa juga keputusan sama ada mahu Pilihan Raya Umum (PRU) cepat atau lambat,” kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, UMNO Sabah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada badan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan PRU akan datang.

Bung Moktar ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah, di Kota Kinabalu.

“Sebab yang menentukan adalah pimpinan, jadi kita tidak akan mendahului.

“Kita akan memperkuatkan jentera parti untuk berdepan dengan PRU akan datang,” katanya ketika ditanya media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada perbincangan mengenai PRU-15 pada mesyuarat UMNO Sabah yang diadakan semalam.

Diminta mengulas berhubung dakwaan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemimpin UMNO kini diterajui penyangak dan penyamun, Bung Moktar berkata tuduhan itu bukan perkara baharu.

“UMNO ini sebuah parti, saya rasa dia menyesal keluar daripada UMNO, mahu balik dia malu sendiri.

“Tidak apalah, apa yang Tun Mahathir cakap biar masa yang menentukan. Saya yakin dan percaya rakyat tahu menilai mana parti yang boleh memberi kemakmuran kepada rakyat, mana yang tidak.

“Tun sudah kembali memerintah dahulu tetapi kecuaian dia, dia berhenti dan akhirnya hilang kuasa. Sekarang mahu kuasa lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO menyarankan supaya bekas Perdana Menteri itu menggunakan sisa hidupnya untuk merehatkan minda dan fizikal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|