Serah sendiri dadah syabu yang disembunyi

Serah sendiri dadah syabu yang disembunyi

Kota Marudu: Gelisah diajukan pelbagai soalan, seorang pengganggur akhirnya menyerahkan sendiri dadah bernilai RM8,165 dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ranggu, Pitas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, lelaki berusia 41 tahun terbabit turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Pitas. Pix Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, sepasukan anggota Balai Polis Pitas menyerbu sebuah rumah dan berjaya menahan suspek.

Katanya, ketika memperkenalkan diri sebagai polis dan ditanya berhubung jika suspek menyimpan dadah, suspek dilihat dalam keadaan gelisah.

Dadah jenis syabu berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Pitas. Pix Ihsan PDRM

“Suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke bahagian dapur rumah dan menunjukkan satu bekas plastik yang mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 5.06 gram dan satu tiub penyedut minuman mengandungi bahan yang sama dengan anggaran berat 1.22 gram.

“Seterusnya suspek dibawa ke bahagian ruang tamu untuk pemeriksaan tubuh dan suspek mengeluarkan satu plastik dari poket hadapan kiri seluar yang dipakainya yang mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 75.37 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wang tunai dan kenderaan yang disita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Pitas. Pix Ihsan PDRM

Katanya lagi, suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah itu di bawa ke Balai Polis Pitas bersama rampasan termasuk dadah, wang tunai berjumlah RM8,000 dan sebuah kereta untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku ada menghisap syabu dua kali sehari dan syabu yang dirampas adalah miliknya sendiri.

“Suspek juga mengaku mendapat bekalan syabu itu dari seorang lelaki di Kota Kinabalu dengan harga RM3,800 untuk 50 gram dan RM7,600 untuk 100 gram dengan kekerapan sebanyak empat kali pembelian sejak Oktober lalu selain mengaku syabu itu untuk dijual di sekitar Pitas, ” katanya.

Zairolnizal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|