Lahad Datu: Sindiket pengedaran rokok seludup dikesan menggunakan taktik baru dengan menggunakan orang ketiga sebagai penghantar rokok seludup merentasi daerah.
Malah, mereka juga turut menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun ia ternyata tidak berjaya apabila ditahan polis ketika melalui kawasan Kampung Baburamah, di sini, semalam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kenderaan Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan dalam operasi Op Kontraban pada jam 12.30 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati, rokok berkenaan dibawa dari kawasan Batu 4, Tawau untuk dihantar ke kawasan Segama, di sini.
“Suspek mengaku itu adalah penghantaran kedua rokok seludup berkenaan dengan bayaran RM500 bagi setiap perjalanan.
“Hasil pemeriksaan kenderaan, pasukan operasi menemui 250 karton dan 175 rokok jenama Astro Filter King serta Astro Menthol bersama 400 karton lagi jenama LA Menthol dan Menara Dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, siasatan lanjut, suspek mengaku dihubungi seorang lelaki bernama Jan yang memintanya mengambil kenderaan Proton Waja berkenaan yang berisi muatan rokok untuk dihantar ke Lahad Datu.
Katanya, suspek terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Semua rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM45,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka