Lelaki maut dihempap pokok tumbang

Lelaki maut dihempap pokok tumbang

Keningau: Seorang lelaki maut selepas dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Cinorop Bunga Raya, di sini, semalam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja di kawasan berkenaan sebelum pokok berkenaan tumbang dan menghempap mangsa.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dari timbunan pokok dan disahkan meninggal dunia. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa masih terperangkap di bawah dahan pokok tumbang.

“Operasi mengeluarkan mangsa dari timbunan pokok berkenaan segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Louri Bangkang, 57, dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.42 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|