Kerajaan Sabah tambah sumbangan untuk Anugerah Kinabalu Press Award

Kerajaan Sabah tambah sumbangan untuk Anugerah Kinabalu Press Award

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kerajaan negeri menambah sumbangan daripada RM60,000 kepada RM100,000 untuk Kinabalu Press Awards pada tahun hadapan.

Beliau berkata, tambahan sumbangan itu adalah sebagai pengiktirafan kerajaan negeri kepada media arus perdana sebagai salah satu rakan kongsi yang penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama pemenang dalam Kinabalu Press Award.

“Anda semua adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat justeru ia amat penting bahawa melalui laporan berita, maklumat fakta dikongsi dengan orang ramai.

“Lebih-lebih lagi pada masa ini di mana platform media sosial telah disalah guna untuk menyebarkan berita palsu dan banyak perkara tidak benar dan separuh benar,” katanya ketika berucap sempena Kinabalu Press Awards anjuran Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan kerjasama bersama kerajaan negeri, Shell Malaysia dan Petronas di sini, malam tadi.

Muguntan menyampaikan cenderamata kepada Hajiji pada majlis Kinabalu Press Award.

Tambah beliau lagi, kewartawanan yang baik memainkan peranan penting dalam masyarakat dan wartawan dapat mempengaruhi pemikiran rakyat melalui laporan serta mengubah landskap politik sesebuah negara.

“Sehubungan itu, wartawan perlu bijak melaporkan. Saya gembira media di Sabah ada yang menjalankan tugas mereka yang membanggakan dan secara terhormat. Paling penting, mereka telah menyediakan liputan berita secara bertanggungjawab dan profesional.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah komitmen kami untuk membangunkan negeri ini dan untuk kebaikan rakyat. Kami berharap media akan meneruskan peranannya untuk melaporkan agenda pembangunan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut berkata, kerajaan negeri bimbang dengan penutupan cawangan media seperti akhbar tertua Sabah, New Sabah Times dan pemberhentian pekerja kakitangan media sebagai langkah penjimatan kos.

“Saya juga sedar sepenuhnya bahawa media arus perdana terutamanya media cetak sedang terus berjuang dalam menghadapi peredaran dan hasil pengiklanan yang berkurangan selain cabaran ditimbulkan oleh media sosial serta diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.

“Saya dimaklumkan lebih 70 petugas media di Sabah telah kehilangan pekerjaaan atau berdepan dengan gaji yang dikurangkan pada tahun ini.

“Saya menggesa syarikat media (di Sabah) untuk mengekalkan pekerja mereka sambil melihat semula model perniagaan media seperti yang dilakukan di seluruh dunia.

“Saya percaya ia masih merupakan perniagaan yang menguntungkan dan ia adalah soal kandungan yang menarik pembaca dan pengiklan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata ini adalah kali pertama beliau menghadiri majlis anugerah itu sejak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata dengan komitmen daripada kerajaan negeri dan rakan strategik Petronas serta Shell Malaysia, beliau yakin SJa dapat meneruskan penganjuran anugerah berprestij ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|