222 PATI warga Indonesia dihantar pulang

222 PATI warga Indonesia dihantar pulang

Kota Kinabalu: Seramai 222 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan di Depoh Imigresen Tawau sejak tahun lalu dihantar balik, hari ini.

Semua tahanan berkenaan dihantar dalam Program Penghantaran Pulang PATI Siri 12/2021 hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Kota Kinabalu.

PATI warga Indonesia yang dihantar pulang hari ini. Gambar ihsan IJM Sabah.

Pengarah JIM Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantara pulang dliti dibuat melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Katanya, sepanjang program berkenaan, proses tapisan kesihatan yang ketat dijalankan termasuk ujian saringan dan proses pengasingan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19.

Program penghantaran PATI dihantar mengikut SOP yang ditetapkan. Gambar ihsan IJM Sabah.

“Program penghantaran pulang PATI ini dilaksanakan seiring dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Semua PATI yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua hukuman dijalankan mengikut proses perundangan negara untuk mengusir semua PATI keluar dari Sabah.

Sehubungan itu, Sitti Saleha berkata, semua warganegara asing diingatkan supaya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di Sabah.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

“Sepanjang tempoh bermula 1 Januari hingga 10 Disember tahun ini, JIM Sabah sudah mengusir seramai 2,659 orang PATI yang melibatkan 1178 warganegara Filipina, 1115 warganegara Indonesia manakala 366 adalah dalam kalangan lain-lain negara.

“Dalam tempoh ini juga, JIM Sabah juga mengemukakan seramai 2000 orang penama yang merujuk kepada orang tahanan (OT) warganegara Filipina kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi tujuan untuk proses penghantaran pulang ke negara asal memandangkan program berkenaan yang dijadualkan secara berterusan sebelum ini lama tertangguh sejak Jun lalu,” katanya.

Sitti Saleha berkata, pemakluman yang diterima daripada wakil Kedutaan Filipina memaklumkan bahawa penghantaran pulang warganegara berkenaan akan dilaksanakan melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga selepas dibenarkan semula.

Justeru itu katanya, ketetapan tarikh yang sesuai daripada Kerajaan Filipina adalah amat diharapkan bagi persediaan Task Group pihak Filipina di Zamboanga dalam memastikan proses penghantaran pulang warganegara asing ini dapat berjalan dengan lancar.

“JIM Sabah menghargai usaha sedemikian dalam memastikan proses penghantaran pulang warganegara asing ini dapat diteruskan dari masa ke masa.

“JIM Sabah sentiasa komited melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap PATI dan tindakan penghantaran pulang warganegara asing akan dilaksanakan selepas mereka melalui semua proses perundangan serta mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.

“Program Penghantaran Pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh negeri Sabah,” katanya.

Sitti Saleha berkata, JIM ingin merakamkan penghargaaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan Program Penghantaran Pulang Siri 12/2021 termasuk Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Tawau, Kementerian Luar Negeri, Kerajaan Negeri Sabah.

“Begitu juga dengan Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang turut membantu melancarkan operasi pengusiran iniz

“JIM Negeri Sabah akan terus komited melalukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI selepas mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|