MARA jalankan siasatan terperinci video sekumpulan pelajar buli rakan yang tular di media sosial

MARA jalankan siasatan terperinci video sekumpulan pelajar buli rakan yang tular di media sosial

Putrajaya: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung rakaman video sekumpulan pelajar yang membuli rakannya dan tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak MARA mengambil maklum berhubung satu kandungan di media sosial Facebook dan Twitter yang telah tular itu.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan penularan kandungan video membabitkan pelajar sebuah sekolah berasrama hari ini.

Tambah Mahdzir lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar.

“Pihak MARA juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

“Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” tegas beliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|