Cadang tubuh semula Sabah Border Scouts bantu pasukan keselamatan – Jeffrey Kitingan

Cadang tubuh semula Sabah Border Scouts bantu pasukan keselamatan – Jeffrey Kitingan

Penampang: “Kita pernah cadang sebelum ini dan kita akan teruskan cadangan apa yang perlu dilakukan untuk bersedia sebarang kemungkinan,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung cadangan penubuhan semula Polis Pengakap Sempadan Sabah (Sabah Border Scouts).

Beliau berkata, cadangan itu adalah bagi mengambil kira situasi di mana rakyat Sabah lebih tahu mengenai keadaan di negeri ini.

“Saya rasa begitu (diwujudkan semula) sebab itu kita cadang sebelum ini.

“Sebab ini sebagai melengkapkan pasukan keselamatan kita dan ada kebaikannya, sebab orang kita tahu kita punya tempat (rakyat Sabah),” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan berita yang mendakwa 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina terlibat dalam plot baharu menyerang Sabah.

Katanya lagi, semua pihak diminta supaya mengambil serius berhubung laporan berkenaan kerana pencerobohan pernah berlaku di Lahad Datu sebelum ini.

“Kita tidak boleh anggap berita ini sebagai satu khabar yang ringan tetapi kena ambil serius sebab ini telah berlaku sebelum ini (Tanduo) dan ia akan berlaku lagi dan sebab itu kita kena bersedia.

“Jadi saya harap jentera keselamatan di sini mengambil serius khabar ini dan mengaktifkan jentera keselamatan kita di laut, darat dan udara.

“Saya sebenarnya baru juga hubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dan beliau menyatakan supaya tidak perlu risau kerana mereka sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Sebelum itu, sebuah akhbar tempatan pada Khamis melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.

Akhbar itu yang memetik South China Morning Post menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah menafikan laporan berita mengenai 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|