PRU15: Bincang dengan rakan parti lain untuk tentukan berapa kerusi STAR

PRU15: Bincang dengan rakan parti lain untuk tentukan berapa kerusi STAR

Penampang: Pemilihan berapa kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan dibincangkan bersama rakan parti lain, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau memaklumkan, STAR memang berhasrat untuk meletakkan calon di semua kerusi yang difikirkannya mempunyai sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jefry menerima borang penyertaan Marcus ke dalam STAR pada Program Bersama Presiden STAR di Dewan Miniantub Kampung Kotiduvan Duvanson, Penampang.

“Sekarang kita tidak boleh cakap sebab apa yang kita hasratkan kalau boleh kita tanding semua, setiap parti ada hasrat itu. Tetapi oleh kerana kita ada kumpulan, sudah tentunya kita ada perundingan antara parti, antara kumpulan dan akhirnya baru kita tahu berapa sebenarnya kita akan bertanding.

“Tapi kalau kamu tanya sekarang, memang hasrat kami mahu bertanding semuanya di mana kita ada kekuatan. Di mana kita tidak ada kekuatan, kita kerjasama dengan parti-parti lain,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Bersama Presiden STAR dan Kemasukan Datuk Dr Marcus Mojigoh dalam STAR, di Dewan Miniantub Kampung Kotiduvan Duvanson, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan menghadapi PRU berikutan saranan daripada pemimpin sebuah parti yang mahu PRU disegerakan dan berapa kerusi yang diharapkan STAR untuk menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa PRU boleh diadakan pada bila-bila masa dan jentera STAR juga kini sentiasa bersedia ke arah itu.

“Kita anggap pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa sebab itu STAR sentiasa menggerakkan jentera parti untuk persediaan.

“Kita dalam proses mengenal pasti apa yang diperlukan termasuk siapa yang mahu bertanding, apa kekuatan dan kelemahan, siapa rakan atau musuh, kita buat persediaan semuanya,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kemasukan bekas Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam STAR, Jeffrey mengalu-alukan kemasukan Marcus yang sekali gus turut memperkuatkan parti.

Dalam majlis itu lebih 1,000 pengikut Marcus dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Aru, Tanjung Keramat dan Petagas turut menyertai STAR.

Marcus ketika ditanya berhubung kemasukannya itu, beliau memaklumkan bahawa ia adalah atas desakan daripada akar umbi di tiga DUN berkenaan.

“Saya juga mahu orang muda tahu apa itu perjuangan terutama dalam menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|