Sijil kelahiran JPN Sabah kehabisan stok

Sijil kelahiran JPN Sabah kehabisan stok

Kota Kinabalu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mengesahkan bekalan sijil kelahiran di negeri ini kehabisan stok.

Stok bekalan sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping namun terputus atau kehabisan stok pada awal Oktober tahun ini.

Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah sebanyak kira-kira 3,200 permohonan.

Katanya, kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan adalah disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.

“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia difahamkan disebabkan berlakunya kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini.

“Namun semakan yang dibuat mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Disember lalu,”’katanya pada sidang media di pejabat JPN, hari ini.

Khairrul berkata, semakan lanjut juga mendapati kertas berkenaan sudah terima oleh syarikat percetakan pada 8 Disember lalu bagi proses cetakan sijil kelahiran.

Katanya, kertas sijil lahir berkenaan dijangkakan sampai ke seluruh negeri ini dan boleh dikeluarkan selewat-lewat 20 Disember depan.

“Sehubungan itu, JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku yang mana ianya adalah diluar kawalan JPN.

“Sekiranya terdapat pelanggan yang terkesan atau memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN, sebagai contohnya untuk tujuan penerbangan ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak, bolehlah memohon di JPN.

“Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP), JPN Negeri Sabah di talian 088-488300 atau 088-488301 atau 088-488365,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|