Piala BMR: 95 pemain dipilih untuk senarai akhir panel pemilihan

Piala BMR: 95 pemain dipilih untuk senarai akhir panel pemilihan

Kota Kinabalu: Seramai 95 pemain dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BMR) bawah 18 tahun yang diadakan baru-baru ini, terpilih untuk melalui fasa akhir pemilihan.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Omar Maya Amat berkata, semua pemain daripada lapan zon itu dikenalpasti oleh panel pemilih yang dilantik yang terdiri daripada jurulatih dan bekas pemain negeri.

Katanya, setiap pemain yang dipilih ini akan dibincangkan oleh panel pemilih sebelum diserapkan ke pasukan yang bersesuaian mengikut kepada kemampuan pemain terbabit.

“Semua 95 pemain yang membabitkan pelbagai posisi ini akan dinilai sebelum diberi peluang diserapkan ke pasukan Sabah FC, Piala Belia ataupun Piala Presiden.

“Manakala selebihnya pula akan diserapkan ke Akademi Bung Moktar Radin (ABMR) yang bakal ditubuhkan untuk mengilap bakat selain memantapkan lagi kemampuan mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Omar berkata, usaha ini akan menjadi platform terbaik dalam mewujudkan pemain pelapis secara berterusan.

Katanya, ia juga membantu merealisasikan hala tuju Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam memajukan bola sepak negeri Sabah ke peringkat lebih jauh.

“Akademi Bolasepak Bung Moktar Radin akan ditubuhkan tahun depan dan ia akan diprogramkan di mana pemain-pemain yang terpilih akan menandatangani kontrak dengan Sabah FA,” katanya.

Untuk rekod, semua pemain terbabit dipilih oleh jurulatih berpengalaman dan nama-nama besar yang ditugaskan sebagai panel pemilih.

Antara panel pemilih yang dilantik adalah Datuk James Wong, Scott Ollerenshaw, Matlan Marjan, Justin Ganai, Jelius Ating, Burhan Ajui, Yahya Kasim, Andrew Majanggim, Johny Dominicus, Stanley Chew, Awang Sabtu, Razali Zinin, Irwan Jamil dan Jasrih Abidin.

Kumpulan panel pemilih ini diketuai oleh Omar Maya dan dibantu oleh penasihat yang juga jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|