Penduduk gusar insiden Tanduo pada 2013 berulang

Penduduk gusar insiden Tanduo pada 2013 berulang

Lahad Datu: Penduduk di sekitar daerah ini gusar dan meminta pasukan keselamatan bertindak cepat susulan dakwaan terdapat komplot serangan baharu ke atas Sabah oleh Tentera Diraja Sulu (RSA).

Ini kerana daerah ini pernah diserang sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu’, pada 2013 dalam insiden pencerobohan penganas di Kampung Tanduo.

Shadam Mohd Abu, 31.

Seorang penduduk, Muhajir Rahman, 45, berkata, insiden bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan melumpuhkan ekonomi malah merosakkan perkembangan pembangunan di daerah ini.

“Ambil tindakan cepat jangan tunggu mereka masuk ke kawasan Lahad Datu, Sabah. Perkara ini sudah pernah berlaku pada 2013 yang mana serangan berlaku dan ia juga melibatkan kematian pihak keselamatan dan ekonomi terjejas.

Muhajir Rahman, 45.

“Walaupun ia telah dinafikan oleh beberapa pihak namun isu sebegini tidak wajar dipandang ringan,” katanya kepada Deasoka.com ketika ditemui, hari ini.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi penduduk di daerah ini, Shadam Mohd Abu, 31, yang mahu tindakan tegas diambil memandangkan perkara ini pernah berlaku sebelum ini.

Sennawing Nurung, 45.

Katanya, insiden poencerobohan pengganas Lahad Datu sebelum ini wajar dijadikan pengajaran dan ia tidak boleh dipandang enteng kerana membabitkan keselamatan orang awam.

Namun, katanya dia percaya dan yakin dengan kebolehan pasukan keselamatan yang mempunyai pengalaman menghadapi situasi sedemikian.

Seorang lagi penduduk, Sennawing Nurung, 45, yang juga kontraktor binaan berkata, sekirannya kejadian berkenaan berulang pastinya ia lebih teruk menghimpit perkembangan ekonomi kerana ia berlaku di ketika Sabah dilanda wabak Covid-19.

“Namun kita percaya dan yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Terdahulu media antarabangsa South China Morning Post (SCMP) melaporkan wujud komplot oleh Tentera Diraja Sulu (RSA) untuk menyerang Sabah.

Laporan itu menyatakan terdapat satu pertemuan rahsia dalam kalangan 19 Datuk Bandar di Filipina bagi membincangkan pengambilan 600 tentera bersenjata untuk melakukan serangan yang dijangka pada sekitar Februari 2022, sebagai memperingati peristiwa Lahad Datu 2013.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|