Covid-19 Sabah: Kes turun ke paras terendah sejak 5 Julai

Covid-19 Sabah: Kes turun ke paras terendah sejak 5 Julai

Kota Kinabalu: Kes Covid-19 di Sabah kembali turun hingga ke paras terendah dengan sebanyak 263 kes hari ini berbanding 329 kes semalam.

Jangkitan baharu itu menyamai catatan pada 5 Julai lalu, iaitu sebelum kes Covid-19 di negeri ini naik mendadak sehingga mencecah empat angka pada Ogos dan September lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan sebanyak 66 kes berbanding semalam itu disebabkan kes yang lebih rendah dicatat di kebanyakan daerah.

Katanya, walaupun Kota Kinabalu kekal penyumbang terbanyak kes di Sabah tetapi jumlah hari ini iaitu 47 kes menunjukkan penurunan 26 kes berbanding semalam.

“Daerah Tuaran juga turun lima kes kepada 27 kes, diikuti Penampang berkurangan enam kes kepada 25 kes dan Ranau turun sembilan kes kepada 14 kes.

“Bagaimanapun, kes di daerah Beaufort bertambah 10 kes kepada 18 keshari ini dan di Tenom naik lima kes kepada 16 kes.

“Lima daerah tidak mencatat sebarang kes baharu iaitu, Kalabakan, Tongod, Nabawan, Kunak dan Semporna. Sebanyak 11 daerah lain mencatatkan jangkitan baharu di bawah 10 kes,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pembukaan aktiviti ekonomi yang semakin luas dan rancak juga meningkatkan interaksi antara penduduk.

Katanya, majlis sosial dan rekreasi bertambah rancak dan perkumpulan tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun adalah diharapkan agar semua rakyat kekal mematuhi semua SOP termasuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Disiplin diri penting bagi mengurangkan risiko jangkitan khususnya ketika berada di tempat yang ramai orang,” katanya.

Jelasnya, jangkitan secara sporadik sering berlaku ketika berada di khalayak ramai atau berkumpulan.

Katanya, statistik jelas menunjukkan peratusan jangkitan secara sporadik adalah tinggi setiap hari.

“Hari ini peratusan jangkitan yang berpunca daripada jangkitan sporadik ialah 41.4 peratus. Angka ini tidak jauh berbeza dengan peratusan penyumbang utama jangkitan iaitu kontak rapat yang mencatat 48.3 peratus,” katanya.

Seramai 252 daripada 263 orang pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala empat orang dalam Kategori 3 serta masing-masing dua pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 10 Disember 2021
Sabah 263 (329)

Kota Kinabalu 47 (73)
Tuaran 27 (32)
Penampang 25 (31)
Beaufort 18 ( 8)
Kota Belud 17 (16)
Tenom 16 (11)
Putatan 16 (17)
Ranau 14 (23)
Papar 12 (19)
Sandakan 12 (13)
Telupid 10 (2)
Kota Marudu 9 (6)
Lahad Datu 7 (3)
Kuala Penyu 6 (6)
Keningau 6 (18)
Pitas 6 (4)
Tawau 5 (5)
Tambunan 3 (3)
Beluran 2 (1)
Kudat 2 ( 10)
Sipitang 1 (4)
Semporna 0 (0)
Kunak 0 (4)
Nabawan 0 (2)
Tongod 0 (5)
Kalabakan 0 (4)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 9 Disember 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|