Aspek keselamatan di perairan ESSCOM diperhebatkan – Komander ESSCOM

Aspek keselamatan di perairan ESSCOM diperhebatkan – Komander ESSCOM

Kota Kinabalu: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan terus kekal komited memikul amanah menjaga keselamatan perairan negeri ini.

Komander ESSCOM yang baru dilantik Deputi Komisioner Polis (DCP) Hamzah Ahmad berkata, selaku komander yang baharu, beliau akan meneruskan segala aspek perancangan yang dijalankan sebelum ini.

Datuk Ahmad Fuad Othman (kiri) menyerahkan dokumen kepada Komander ESSCOM yang baharu DCP Hamzah Ahmad sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Namun katanya, beliau juga akan cuba membawa penambahbaikan atau pembaharuan bagi memastikan sistem keselamatan pantai timur dapat diperkasakan lagi.

“InsyaAllah saya akan jalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin khususnya di kawasan pantai timur.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi terlibat dalam memastikan aspek keselamatan terus berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas menerima penyematan pangkat dan serah terima tugas daripada bekas Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman yang bersara.

Majlis serah terima tugas turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali di Pejabat Ketua Menteri Sabah, hari ini.

Menurutnya, keselamatan di perairan negara ini sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dalam berdepan sebarang ancaman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|