Kementerian Wilayah Persekutuan Pergiat Jadikan Labuan Hub Pendidikan Negara

Kementerian Wilayah Persekutuan Pergiat Jadikan Labuan Hub Pendidikan Negara

Labuan: Langkah menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai salah sebuah Hub Pendidikan negara dipergiat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan membawa masuk 1,000 pelajar antarabangsa mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah itu akan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke pulau bebas cukai itu.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan, perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat bersama Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Haji Amir Haji Hussien dan wakil Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), di pejabatnya di ibu negara, baru-baru ini.

UMSKAL diwakili Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Pengantarabangsaan), FKI, Dr Muzaffar Hamzah.

Jalaluddin berkata inisiatif itu bermula dengan tumpuan terhadap golongan sasaran antarabangsa dari Indonesia, namun setelah infrastruktur dan polisi berkaitan telah dibangunkan, sasaran akan semakin berkembang dan merangkumi banyak negara prospek seperti China, India, Thailand dan Vietnam.

Jelas beliau, dengan merealisasikan usaha tersebut, Labuan mampu menjana pendapatan sehingga RM50 juta setahun.

“Ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan juga mampu dijana sehingga mencecah RM159 juta maksima bagi tahun ketiga,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|