Maklumat perjumpaan di selatan Filipina diputar belit oleh pihak tertentu – KDNKA

Maklumat perjumpaan di selatan Filipina diputar belit oleh pihak tertentu – KDNKA

Kota Kinabalu: “Maklumat yang diterima sememangnya ada perjumpaan tetapi bukan untuk menyerang Sabah tetapi sebaliknya memperkukuhkan keselamatan mereka.”

Demikian tegas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang dan diusahakan ‘19 Datuk Bandar’ di Selatan Filipina.

Hazani berkata, mengikut maklumat diterima, perbincangan yang diadakan itu juga memfokuskan kepada pembangunan di kawasan mereka dengan menjemput pelabur-pelabur luar untuk masuk ke negara jiran berkenaan.

Katanya, perkara itu dengan sengaja cuba diputar belit oleh sesetengah pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan cemburu dengan keadaan keselamatan di Sabah.

“Perbincangan itu juga dibuat bagi memperkukuhkan lagi sistem pertahanan mereka dari sebarang ancaman seperti pengganas, perompak dan elemen jenayah lain.

“Tiada kena mengena dengan cubaan untuk menyerang Sabah atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyematan dan Serah Terima Tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini.

Majlis serah terima tugas yang dijalankan membabitkan bekas Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman yang bersara dan digantikan Deputi Komisioner (DCP) Hamzah Ahmad.

Hazani berkata, pihak keselamatan di negara ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan lain sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan wujudnya plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang membabitkan usaha dan persetujuan ’19 datuk bandar’ dari selatan Filipina timbul menerusi laporan sebuah akhbar luar negara ‘South China Morning Post’.

Malah laporan berkenaan turut mendakwa pertemuan berkenaan diatur pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|