Kinabatangan: Seorang pemandu lori dan kelindan terselamat selepas lori yang dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Paris, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, hanya pemandu lori mengalami kecederaan ringan manakala kelindan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.56 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kejadian disahkan membabitkan sebuah lori terbabas sendiri dan melibatkan dua mangsa.
“Pemandu dan kelindan dikeluarkan oleh orang awam seterusnya dihantar ke Hospital oleh Ambulan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan Bomba kemudiannya mengambil tindakan membuka kepala bateri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 9 pagi,” katanya.
-Deasoka