150 kanak-kanak sertai majlis khatan di Putatan

150 kanak-kanak sertai majlis khatan di Putatan

Putatan: Seramai 150 kanak-kanak menyertai Majlis berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat sempena musim cuti persekolahan kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, majlis khatan beramai-ramai terus menjadi wadah dalam mengerat hubungan silaturahim masyarakat setempat.

Shahelmey melawat kanak-kanak yang menyertai Majlis Berkhatan Tanjung Keramat di Masjid Daerah Putatan.

Katanya, program itu turut dilihat dapat membantu golongan ibu bapa melaksanakan tuntutan agama kepada anak-anak mereka.

“Kali ini kita menyasarkan seramai 150 peserta akan menyertai Majlis berkhatan ini termasuklah dari Kem Lok Kawi yang berada dalam kawasan Tanjung Keramat.

“Usaha ini adalah untuk kita sama-sama meringankan beban keluarga dalam membiayai kos program atau operasi berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang meningkat dewasa yang ada di kawasan Tanjung Keramat dan daerah Putatan secara amnya,” katanya ketika merasmikan Majlis Berkhatan Tanjung Keramat di Masjid Daerah Putatan, Putatan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berharap, anjuran program ini akan memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat di Putatan.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa program sosial anjuran UPPM Tanjung Keramat akan memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat yang ada dalam kawasan Tanjung Keramat dan Putatan,” katanya.

Program berkhatan itu merupakan yang kali kedua dianjurkan sejak beliau menjadi wakil rakyat di Tanjung Keramat hujung tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|