Program Putatan Bersih dilaksanakan tahun depan

Program Putatan Bersih dilaksanakan tahun depan

Putatan: Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi melaksanakan Program Putatan Bersih ke arah meningkatkan tahap kebersihan daerah ini pada tahun depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyar, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelaksanaan program itu juga disasarkan untuk membudayakan penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk daerah ini.

“Kita harap dengan adanya Program Putatan Bersih sepanjang tahun 2022 nanti, maka tahap kebersihan di Putatan akan dapat kita tingkatkan.

“Ianya juga agar kita dapat membudayakan kebersihan yang tinggi dalam kehidupan seharian kita di Putatan mahupun di negeri Sabah ini,” katanya.

Shahelmey (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Daerah Putatan tahun 2021, Datuk OKK Mohd Dahali Matsin (dua dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Putatan Haryani Anah Abdul Kahar dan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, turut mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan diri dan kawasan mereka bagi mengelak daripada jangkitan sebarang penyakit.

“Tanam tekad untuk meningkatkan penjagaan kebersihan dalam diri, masyarakat, daerah dan negeri agar kita dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera dan mengelakkan jangkitan penyakit,” katanya.

Pada majlis itu, Shahelmey turut menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Daerah Putatan 2021, Datuk OKK Mohd Dahali Matsin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|