Semarakkan perjuangan, kembalikan maruah UMNO – Bung Moktar

Semarakkan perjuangan, kembalikan maruah UMNO – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan perwakilan parti itu supaya menjadikan persidangan bahagian yang berlangsung di seluruh negara hari ini sebagai platform untuk menyemarakkan perjuangan bagi mengembalikan maruah UMNO.

Beliau berkata, maruah parti itu perlu dikembalikan selepas dilontar dengan pelbagai tuduhan dan kata-kata melampau dalam usaha pihak lawan untuk melemahkan kedudukan parti berkenaan.

“Selama ini UMNO dilontarkan dengan pelbagai kata-kata nista dan provokasi yang melampau. Mari kita buktikan kepada mereka yang selama ini menganggap UMNO sebagai parti lemah.

“Pastikan kemenangan UMNO di seluruh negara. Kita telah membuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRN Melaka tidak mustahil UMNO akan berjaya,” katanya dalam perkongsian beliau di laman Facebook sempena mesyuarat perwakilan UMNO bahagian, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengajak ahli parti itu untuk sama-sama memperkasa parti dan mengukuhkan perpaduan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mari sama-sama kita perkasakan parti keramat ini, bersatu teguh bercerai roboh, UMNO dulu, kini dan selamanya. UMNO harus diperkasakan di semua peringkat, bahagian, wanita, pemuda, puteri dan cawangan untuk memastikan kejayaan dan kemenangan PRU-15,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar merakamkan ucapan tahniah kepada semua UMNO bahagian yang akan menjalankan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian bagi tahun ini.

“Saya yakin mesyuarat perwakilan tahun ini akan membawa makna yang amat besar dalam perjuangan parti UMNO di seluruh negara dan khususnya untuk Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|