Sandakan: UMNO Sabah akan menuruti keputusan UMNO Pusat berhubung kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jika hubungan UMNO Pusat dengan PN sudah diputuskan, maka hubungan membabitkan UMNO di Sabah juga akan seiring.
Jelasnya, walaupun UMNO bekerjasama dalam membentuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang wujud ketika ini, namun ia hanya di peringkat negeri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lalu.
Sebaliknya, beliau berkata jika berkaitan PRU-15, keputusan akan ditentukan oleh UMNO Pusat.
“UMNO Sabah akan seiring dengan Semenanjung, kalau mereka sudah putus kita ikut.
“Autonomi UMNO Sabah ini untuk PRN saja, untuk pilihan raya Parlimen itu autonomi UMNO Pusat, itu perjanjian kita.
“Sebab yang mahu jadi Perdana Menteri bukan kami. Jadi, ia bergantung dengan kehendak Barisan Nasional (BN) Pusat, kalau dia kata kita tanding 25 (kerusi), maka 25 lah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan, di Sandakan, hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata calon UMNO Sabah bagi kerusi Parlimen juga sudah dikenal pasti.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menjalankan tinjauan semula pada awal Januari depan bagi memastikan calon yang diketengahkan pilihan utama rakyat di sesebuah Parlimen.
“Kita sudah kenal pasti dan dalam awal bulan Januari ini kita akan buat tinjauan di semua kawasan Parlimen biar kita puas hati.
“Jadi calon pilihan rakyat itu akan kita ketengahkan untuk ditawarkan kepada rakyat,” katanya.
-Deasoka