Sabah perlukan pemain berkualiti – Ong Kim Swee

Sabah perlukan pemain berkualiti – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak berselindung mengenai hasratnya untuk membawa beberapa pemain berkualiti dari kelab lain untuk menyertai skuad Sang Badak dalam saingan Liga Super 2022.

Jelasnya, nama hebat seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan beberapa pemain lagi memang diperlukan bagi memastikan Sabah mampu memberikan saingan kepada pasukan lain.

Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan secara rasmi senarai pemain baharu pasukan yang bakal mengikat kontrak beraksi bersama skuad Sang Badak itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Namun, katanya senarai rasmi dijangka diketahui awal bulan depan selepas perbincangan dengan pengurusan Sabah FC berkaitan soal peruntukan kewangan kepada pasukan.

Katanya, beliau perlu berbincang dengan pihak pengurusan Sabah FC terlebih dahulu terutama berkaitan bajet pasukan yang diperuntukkan bagi musim depan sebelum membuat keputusan mengenai pemilihan pemain.

“Bagi saya sudah tentu kita inginkan beberapa pemain yang mempunyai mutu permainan yang berkualiti tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam saingan Liga Super 2022.

“Dalam masa sama kita juga sudah mengenal pasti beberapa pemain tempatan untuk dicadangkan kontrak baharu musim depan berdasarkan kemampuan kewangan Sabah FC.

“Setiap tahun pasti semua kelab akan membeli, menjual atau mengekalkan pemain mereka dan sama juga dengan pasukan Sabah sudah tentu ada pemain yang tidak akan disambung kontrak dan ada juga pemain yang akan disambung kontrak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pelbagai khabar angin yang tersebar di media sosial mengatakan beberapa pemain ternama dari beberapa kelab termasuk Baddrol (Kedah Darul Aman FC) dan Khairul Fahmi (Melaka United FC) bakal menyarung jersi Sabah FC musim depan.

Setakat ini, katanya khabar angin itu hanya spekulasi yang ditularkan di media sosial kerana beliau belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai senarai rasmi pemain.

“Apa yang boleh kita kongsikan di sini ialah Sabah FC melakukan perancangan rapi untuk mengekalkan beberapa pemain utama yang sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang musim ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|