Daftar GRS sebagai gabungan politik rasmi – Salleh Said Keruak

Daftar GRS sebagai gabungan politik rasmi – Salleh Said Keruak

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu didaftar sebagai gabungan politik rasmi dalam usaha mengukuhkan kedudukan dan mengelak perpecahan dalam kalangan parti politik yang membentuk gabungan berkenaan, khususnya di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan perkara itu selepas melihat situasi politik di Melaka yang menyaksikan pertembungan di antara BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Beliau berkata, situasi politik Sabah berbeza dengan Semenanjung dan semua pihak tidak boleh lalai mengenai perkara itu.

“Dalam hal ini, pemimipin GRS perlu duduk semeja untuk membincangkan tindakan segera bagi memperkasa kedudukan GRS. Sangat penting untuk memperkasa GRS bagi menentukan halatuju gabungan itu sendiri.

“Sehubungan itu, kita perlu memberi keutamaan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi. Pemimpin GRS perlu membincangkan perkara ini dan merealisasikannya.

“GRS boleh menimbangkan untuk membuka keahlian secara terus kepada parti lain untuk menjadi ahli gabungan itu, selain individu yang mahu menjadi ahli biasa GRS,”katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Backbencher GRS, berkata GRS perlu memastikan rakyat negeri ini tidak lagi keliru mengenai kedudukan gabungan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu, berkata GRS perlu terus memberi tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat Sabah, terutama dalam membangunkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan generasi muda sebagai pemimpin masa depan Sabah.

“Secara peribadi, saya sudah menyampaikan pandangan saya mengenai perkara ini kepada kepemimpinan tertinggi GRS.

“Memang ada perbezaan pendapat tetapi demi masa depan Sabah, saya percaya adalah sangat penting untuk kita membincangkan perkara ini secara terbuka, boleh diterima akal dan membina,” katanya.

Salleh yang juga Pengarah Pilihanraya BN Sabah, berkata GRS perlu mengetepikan polemik politik dan kekal fokus bekerja untuk Sabah demi masa depan negeri ini.

“Sabah dianugerahi dengan kekayaan alam semulajadi dan rakyat berbilang kaum yang dikenali dengan sikap toleransi mereka.

“Negeri ini sudah wujud sebagai sebuah entiti sejak 140 tahun yang lalu, iaitu sejak 1 November 1881. Bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan, GRS perlu mengetepikan polemik politik, sebaliknya kekal fokus bekerja,” katanya.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata PRN Melaka baru-baru ini memperlihatkan perlunya pemimpin GRS bertindak mengukuhkan halatuju gabungan berkenaan.

Katanya, GRS yang diwujudkan pada 12 September 2020 sebagai sebuah gabungan parti tempatan Sabah yang merangkumi BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menghadapi PRN-16 diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.

“Gabungan GRS berkesan kerana ia membabitkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan, yang mana ada struktur yang jelas dan semua mempunyai peranan yang penting.

“Ia menunjukkan rakyat Sabah mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan dan kemakmuran negeri ini yang lebih teratur. PRN Melaka jelas menunjukkan kesinambungan mesej ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|