Empat premis curi elektrik diserbu

Empat premis curi elektrik diserbu

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyerbu empat premis perniagaan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, di sini, hari ini selepas disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Operasi serbuan yang diadakan selama dua hari bermula pagi tadi diketuai oleh ST bersama seramai 35 kakitangan membabitkan kedua-dua agensi berkenaan.

Pengarah Kawasan ST Sabah, Jefrey Nuri berkata, operasi dijalankan hasil aduan awam dan siasatan yang dijalankan berikutan penemuan pendawaian secara haram yang ditambah untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis berkenaan.

Katanya, pendawaian yang dikesan ini adalah membabitkan penambahan bekalan elektrik daripada satu fasa kepada tiga fasa untuk kegunaan premis masing-masing.

“Serbuan hari ini membabitkan sebuah restoran yang melakukan penyambungan bekalan elektrik secara terus tetapi tidak melalui meter SESB yang dipercayai bagi mengelakkan bil elektrik yang tinggi.

“Dianggarkan premis ini sudah beroperasi menggunakan kaedah ini sejak satu atau dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas operasi yang dijalankan, hari ini.

Jefrey berkata, pihaknya menganggarkan SESB mengalami kerugian kira-kira RM118,087 untuk semua empat premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37(14) akta yang sama

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Manakala Jefrey berkata, bagi kesalahan kedua pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta dan penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Jefrey berkata, pihak ST mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu pepasangan meter elektrik milik SESB.

Katanya, masyarakat juga diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pihak ST atau SESB sekiranya mengesan sebarang kejanggalan pada meter untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|