MUIS tarik balik sijil pengesahan halal Port View Euro Bakery

MUIS tarik balik sijil pengesahan halal Port View Euro Bakery

Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membekukan akuan permohonan pembaharuan sijil halal dalam sistem MyeHalal dan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan kepada Syarikat Port View Euro Bakery Sdn Bhd.

Tindakan terhadap syarikat pengeluar roti tempatan itu diambil selepas didapati melakukan ketidakakuran syariah yang amat serius dan sangat bertentangan dengan dasar syarak Islam apabila salah satu produknya dikesan mengandungi DNA babi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali, berkata MUIS sebelum ini menerima laporan secara bertulis mengenai isu kuih bulan keluaran syarikat itu yang dikesan mengandungi DNA babi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada 16 November lalu.

“Berikutan itu, kita memanggil pihak Syarikat Port View Euro Bakery Sdn Bhd datang ke pejabat MUIS pada 19 November 2021 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu. MUIS mendapati Sijil Halal syarikat itu telah tamat tempoh pada 15 Mei 2021 dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku.

“MUIS berpandangan bahawa syarikat ini telah melakukan ketidakakuran syariah yang berkaitan dengan produk makanan ‘Moon Cake’ yang dkeluarkan oleh syarikat itu.

“Ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertarikh 1 November 2021, yang menyatakan keputusan analisa DNA haiwan bagi sampel Port View Moon Cake adalah menunjukkan DNA babi,” katanya.

JHEAINS sebelum ini menjalankan pemantauan berhubung isu kuih bulan keluaran syarikat itu yang dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 23 September lalu berikutan aduan yang dibuat terhadap syarikat itu pada 16 September lalu.

Ramlan berkata, berikutan tindakan menarik balik sijil pengesahan halal itu, syarikat terbabit dilarang sama sekali menggunakan sijil SPHM atau logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lain-lain aktiviti sama ada di dalam atau di luar premis atas nama syarikat itu.

“MUIS juga menasihatkan semua pihak yang menggunakan sijil dan logo Halal Malaysia supaya menjaga kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam dalam memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan sentiasa patuh syariah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|