Padah mengaku ibu kandung, wanita dipenjara 7 hari, denda RM10,000

Padah mengaku ibu kandung, wanita dipenjara 7 hari, denda RM10,000

Tawau: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan kad pengenalan untuk seorang kanak-kanak.

Tertuduh Rozanah Ajak, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan.

Tertuduh Rozanah Ajak, 44, diiringi pegawai bahagian siasatan penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, selepas mengaku salah memberi maklumat palsu di Mahkamah Majistret Tawau.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku memberi maklumat palsu dalam sijil kelahiran Azlin Abdullah dengan mengaku sebagai ibu kandung.

Tertuduh turut menjadi penganjur dalam permohonan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau.

Rozanah dituduh mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana dengan sengaja memberi maklumat palsu sebagai ibu semasa membuat Permohonan Kad Pengenalan 12 tahun.

Kes pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Nurul Fariza Abdullah manakala tertuduh diwakili
peguam Jhasarry P Kang dari Kang Advocates.

Dalam sesi jatuh hukum, Majistret Amir Shah berkata, ia adalah satu kerugian sekiranya kita memberi hak warganegara kepada bukan warganegara.

Katanya, perkara ini perlu dipandang serius bagi mengelakkan lebih banyak kes seperti ini dilakukan dan rakyat tempatan dinasihatkan tidak mengambil ringan kesan dan akibat sekiranya hak wargenegara diberikan kepada pendatang asing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|