PENJANA KPT-CAP tangani kebolehpasaran graduan akibat pandemik COVID-19

PENJANA KPT-CAP tangani kebolehpasaran graduan akibat pandemik COVID-19

Kota Kinabalu: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Raman Noordin, berkata inisiatif dikenali sebagai PENJANA KPT-CAP itu bertujuan membantu graduan meningkatkan kemahiran dan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Program ini adalah platform terbaik untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah graduan sebagai nilai tambah selain daripada ‘softskill’ yang diperolehi ketika menimba ilmu di universiti.

“UMS adalah salah satu institusi pengajian tinggi awam yang melaksanakan inisiatif ini bagi memastikan graduan memiliki daya saing yang tinggi dan mempunyai kompetensi yang relevan bagi menjamin kebolehpasaran mereka di alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program PENJANA KPT-CAP bagi Kursus Perunding Unit Amanah yang dianjurkan dengan kerjasama PMB Investment Berhad, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Interim yang juga Pengarah PMB Investment Berhad, Datuk Zulfikri Osman; Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Dr Soon Singh Bikar Singh; dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad, Mahani Ibrahim.

Raman berkata, program PENJANA KPT-CAP sepatutnya dilaksanakan pada awal 2020 bagi membantu graduan tahun 2019 dan tahun 2020 mendapatkan latihan serta penempatan pekerjaan.

“Bagaimanapun, disebabkan kekangan situasi semasa pandemik Covid-19 menyebabkan program ini terpaksa ditangguh sehingga ke September 2021.

“Syukur ke hadrat Allah SWT program ini dapat dilaksanakan dengan sokongan KPT dan semangat yang jitu daripada semua peserta yang terlibat.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) selaku pelaksana program ini di UMS,” katanya.

Dalam pada itu, Soon Singh memaklumkan UMS sebelum ini sudah mengadakan lima program di bawah PENJANA KPT-CAP, antaranya Kursus Aircraft Manufacturing Technology; Certified Drone Precision Agriculture Proficient; Industrial Internet of Things; Kursus Pengurusan Acara Karnival dan Jualan; dan Kursus Pengurusan dan Perniagaan dalam Muzik.

“Kursus Perunding Unit Amanah kali ini diadakan dengan objektif bagi memberi pengetahuan dan ilmu berkaitan bidang kewangan dan pelaburan kepada peserta.

“Selain itu, ia bagi menyediakan peluang kerjaya kepada graduan UMS yang bergraduan dan belum bekerja,” katanya.

Seramai 100 graduan UMS mengambil bahagian dalam kursus yang berlangsung selama 42 hari yang dilaksanakan secara hibrid iaitu dalam talian dan secara fizikal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|