RM1.25 bilion peruntukan KPLB di Sabah tahun depan

RM1.25 bilion peruntukan KPLB di Sabah tahun depan

Papar: Sabah menerima peruntukan RM1.25 bilion melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) persekutuan dalam Bajet 2022 bagi melaksanakan projek pembangunan prasarana pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peruntukan itu bagi melaksanakan sebanyak 248 projek yang merangkumi jalan luar bandar, bekalan air luar bandar (BALB), bekalan elektrik luar bandar (BELB) dan baik pulih rumah.

“Sabah mendapat kelulusan untuk bajet pembangunan prasarana bagi tahun 2022 sebanyak RM1.25 bilion. Semua sebanyak 248 projek akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Peruntukan kepada Sabah ini menunjukkan peningkatan 6.25 peratus berbanding bajet yang disediakan melalui KPLB pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB dengan kerjasama MARA Liner dan Pejabat Kesihatan Daerah Papar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal; ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahdar; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi.

Mengenai pencapaian projek KPLB di Sabah pada tahun ini, Mahdzir berkata sebahagian projek tidak dapat dilaksanakan berikutan penularan pandemik Covid-19, namun akan diteruskan pada tahun depan.

Mengenai program yang dilancarkannya, beliau berkata inisiatif dengan kerjasama MARA Liner dan Pejabat Kesihatan Papar itu bertujuan membantu pemberian vaksin Covid-19 secara bergerak ke rumah-rumah di sekitar daerah Papar.

Katanya, pasukan bergerak yang terbabit dalam program itu akan pergi ke semua kampung yang dikenal pasti masih ramai belum menerima vaksin dengan sasaran dapat memastikan seramai mungkin atau semua penduduk divaksinasi.

“Saya hadir ke Papar untuk melancarkan program vaksinasi bergerak ke rumah rumah kawasan Papar. Tujuan MARA Liner membantu pusat vaksinasi di sini adalah untuk membolehkan kita memberi perkhidmatan pemberian vaksin secara bergerak.

“Bagi kawsan Papar, saya difahamkan ketika ini golongan dewasa yang sudah lengkap vaksin baru mencapai 76 peratus, manakala pelajar berumur 12 hingga 18 tahun sebanyak 95 peratus,” katanya.

Bagi negeri Sabah, katanya selain di Papar, program sama turut dilaksanakan di Beaufort, Tawau dan Kinabatangan, manakala di Miri, Sarawak bermula bulan depan.

Sebelum ini, katanya program sama turut dilaksanakan di Sungai Siput, Perak dan beberapa tempat lain di Semenanjung.

Menjawab soalan lain, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik rasmi diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin di Sabah.

“Itu keputusan orang Sabah, mana yang terbaik untuk Sabah,” katanya ketika diminta mengulas cadangan pendaftaran GRS yang disuarakan ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, baru-baru ini.

Cadangan itu turut mendapat maklum balas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenainya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|