Dokumentari ‘Saudin’ mampu tarik minat ramai untuk mengetahui mengenai Sabah

Dokumentari ‘Saudin’ mampu tarik minat ramai untuk mengetahui mengenai Sabah

Kota Kinabalu: Sebuah filem dokumentari berkisar mengenai seorang lelaki berbangsa Murut, Saudin Labotao, dijangka bakal menjadi faktor penarik untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai Sabah dan daerah Keningau.

Berasal dari Kampung Ambual di Keningau, Saudin l diupah oleh pembuat filem hidupan liar dari Amerika Syarikat, Martin dan Osa Johnson, pada tahun 1936 untuk mengendalikan hidupan liar Borneo yang ditangkap dan menemani haiwan-haiwan berkenaan ke New York untuk dipamerkan di zoo.

Pengalaman Saudin mengembara ke New York dicatatkan dalam sebuah buku Agnes Keith yang berjudul ‘Land Below The Wind’.

Gambar-gambar Saudin juga dipaparkan dalam buku meja kopi bertajuk Spirit of Borneo: Martin and Osa’s Johnson Journey 1920 & 1935.

Naratifnya yang lucu menarik minat penerbit filem dari Rye Production Sdn Bhd, Noreini Rahman, yang berjaya berhubung dengan cucu-cucu Saudin untuk menbuat dokumentari menyeluruh mengenainya.

Pada hari ini, krew produksi yang diketuai oleh Noreini membuat pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Ia bagi membincangkan kerjasama bagi mempromosikan dokumentari bertajuk ‘Saudin’ itu dan potensi menjadikan rumahnya di Keningau sebagai sebuah galeri muzium untuk pelancongan warisan.

Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Pelancongan Sabah, Julianus Jimit, dan cucu-cucu Saudin iaitu Norman James Saudin dan Norsina James Saudin, turut hadir dalam mesyuarat itu.

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri berkata, melihat keperluan untuk kisah Saudin diketahui umum kerana peranannya yang penting dalam merapatkan jurang antara budaya yang berbeza.

“Kita perlu melakukan sesuatu dan Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa mencari produk pelancongan baru yang boleh diketengahkan. Cerita mengenai Saudin sememangnya mempunyai banyak potensi.

“Kita perlu mempromosikan siapa itu Saudin, dan saya percaya filem dokumentari ini akan menarik minat ramai. Sudah tentu, kita di Lembaga Pelancongan Sabah akan memainkan peranan kami dalam mempromosikan Sabah,” katanya.

Joniston berkata, Lembaga Pelancongan Sabah juga akan menghantar sepasukan petugas ke rumah Saudin yang terbiar di Kampung Ambual untuk menilai potensi menjadikannya sebagai tarikan pelancong.

Katanya, kedua-dua cucu Saydin dan rumah berkenaan masih berada dalam keadaan asal tetapi mengalami sedikit kerosakan disebabkan anai-anai.

“Barangan peribadi Saudin masih lagi terdapat dalam rumah berkenaan dan tanah perkuburannya juga terletak di kawasan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Noreini berkata, beliau menghabiskan empat tahun membuat kajian mengenai Saudin sebelum melontarkan idea cerita dokumentari itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan History Channel.

Katanya, dokumentari berkenaan hampir selesai dan akan dihantar kepada pihak Finas serta History Channel untuk semakan kelulusan pada awal tahun depan.

“Dengan bantuan Lembaga Pelancongan Sabah, saya berharap dapat melancarkan dokumentari itu di Sabah. Ini adalah dokumentari penting yang memfokuskan kepada anak jati Sabah dan kami mahu generasi muda mengenali Saudin kerana dia menjadi sebahagian daripada sejarah.

“Kami juga sudah berkomunikasi dengan Muzium Sejarah Kansas, dan mereka teruja untuk bekerjasama dengan kami,” katanya.

Watak Saudin akan dimainkan oleh cucunya, Norman, dalam filem dokumentari berkenaan yang akan menonjolkan hubungan antara Saudin dengan orang barat serta haiwan-haiwan yang dijaganya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|