Ujian percubaan siren amaran awam

Ujian percubaan siren amaran awam

Kota Kinabalu: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah akan melaksanakan sesi ujian percubaan satu unit siren amaran awam yang dipasang di bangunan strategik sekitar Kota Kinabalu.

Pengarah APM Sabah, Kolonel Sharudin Md Zain berkata, siren amaran yang dipasang itu merupakan jenis siren elektrik 400 volt yang dibawa masuk ke Malaysia termasuk Sabah sekitar tahun 1968 hingga 1970.
 
“Siren amaran ini sudah diselenggara dan akan diuji kebolehfungsiannya pada Rabu depan, 1 Disember depan.

“Ujian akan dilakukan dalam dua fasa iaitu jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dan fasa malam pada jam 10 malam hingga jam 11 malam,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sharudin berkata, ujian berkenaan dijalankan bagi melihat jarak jangkauan dan litupan bunyi yang boleh dicapai dari titik lokasi siren.

Katanya, uji lari siren akan dilaksanakan dengan mengaktifkan dua nada bunyi bagi setiap fasa uji percubaan.

“Setiap ujian percubaan akan menggunakan dua nada bunyi yang akan dioperasikan untuk tempoh dua minit bagi setiap nada bunyi.

“Sehubungan itu, pihak APM Sabah memohon kerjasama semua penduduk awam yang sekiranya mendengar bunyi siren berkenaan supaya tidak panik dan boleh meneruskan urusan atau aktiviti masing-masing seperti biasa,” katanya.

Sharudin berkata, pihak APM Sabah akan menempatkan sejumlah anggota di lokasi tertentu untuk memantau situasi keselamatan awam dalam tempoh pelaksanaan ujian percubaan siren amaran ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|