Pusat sukan lasak bantu rancakkan ekonomi, pelancongan Sabah

Pusat sukan lasak bantu rancakkan ekonomi, pelancongan Sabah

Lahad Datu: Pembukaan pusat sukan lasak di daerah ini diharap dapat merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Sabah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi pembukaan Segama ATV Park, di sini, ia menjadi pakej baharu kepada pertumbuhan eko pelancongan masyarakat setempat yang mengusahakannya, terutama melibatkan sukan lasak dan ekstrem.

Nancy ketika merasmikan pembukaan Segama ATV Park di Lahad Datu.

“Saya berharap aktiviti sukan lasak ini juga mampu menjadi enjin penggerak yang utama untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja memberi pulangan pelaburan kepada negara tetapi pendapatan yang kukuh kepada setiap pengusaha dan pemain di sekelilingnya,” katanya selepas merasmikan Segama ATV Park, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu percaya, Segama ATV Park mampu menjadi satu lagi daya tarikan baharu di daerah ini.

Terdahulu, Nancy berkata, kunjungannya ke daerah ini turut melibatkan usaha mengenal pasti produk pelancongan baharu.

“Saya dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, terdapat 28 produk pelancongan yang ditawarkan di Lahad Datu,” katanya.

Sehubungan itu, Nancy berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan industri pelancongan malah MOTAC sentiasa komited dalam membantu pengusaha dan pemain industri pelancongan untuk terus bergiat aktif dan progresif melangkah terus ke hadapan.

“Komitmen ini akan diterjemahkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di dalam Fokus Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi yang selaras dengan visi dan misi MOTAC di bawah agenda Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan secara mampan dan inklusif, serta pemulihan industri pelancongan secara efektif berteraskan norma baharu dan ketersediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang.

“Hasrat ini juga diharap dapat kita realisasikan bersama dengan adanya kerjasama erat di antara kerajaan Pusat bersama kerajaan negeri dalam mencari formulasi dan merangka strategi atau dasar yang mampan untuk memperkasakan semula industri pelancongan.

“Dalam aspek ini, saya turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak individu atau persendirian dalam usaha kita memastikan industri pelancongan negara terus maju ke hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|