Pasukan MDPTN johan Sepak Takraw Terbuka Sabah 2021

Pasukan MDPTN johan Sepak Takraw Terbuka Sabah 2021

Tawau: Pasukan Majlis Daerah Putatan (MDPTN) muncul johan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Sabah 2021 merebut Piala Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau selama dua hari, berakhir semalam.

Pasukan berkenaan menewaskan regu Warisan pada perlawanan akhir sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, selain piala, trofi dan sijil.

Pasukan Majlis Daerah Putatan (MDPTN) muncul johan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Sabah 2021 di Tawau.

Regu Warisan selaku naib johan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 bersama piala, trofi dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga yang membawa pulang RM700 selain trofi dan sijil dikongsi regu JJCM (A) dan JJCM (B).

Kejohanan anjuran Kelab Sepak Takraw Otai Tawau Kalabakan dengan kerjasama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah itu disertai sebanyak 32 pasukan termasuk sebuah regu dari Kuala Lumpur.

Turut mengambil bahagian bagi memeriahkan kejohanan itu ialah dua regu wanita pilihan dari Sabah dan Sarawak menerusi satu perlawanan khas yang dimenangi regu Sabah.

Terdahulu, majlis pembukaan kejohanan itu disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Kolonel Kehormat (PA) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada Sabtu lalu.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga ADUN Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy pula menyempurnakan majlis penutupan kejohanan petang semalam.

Dalam ucapannya, Andi berkata Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) amat mengalu-alukan dan bersedia menyokong penganjuran sukan di pelbagai peringkat demi pembangunan sukan negeri.

Katanya, melalui penganjuran program sukan seperti kejohanan sepak takraw itu, secara langsung juga dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi kehadiran peminat dan pelawat dari luar yang hadir memeriahkan kejohanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|