Pengguna minta Jalan Beaufort-Sipitang diselenggara

Pengguna minta Jalan Beaufort-Sipitang diselenggara

Beaufort: Jalan berlubang dan tidak berturap kerana laluan sedang dinaik taraf menyebabkan pengguna di sepanjang Jalan Beaufort-Sipitang tidak selesa menggunakannya.

Malah, ramai pengguna jalan raya bimbang dengan keselamatan diri dan risau akan menyebabkan kerosakan pada kenderaan terutama pada waktu malam.

Jalan berlubang antara masalah yang dihadapi pengguna jalan raya Beaufort-Sipitang yang dilihat mendatangkan bahaya terutama pada waktu malam.

Itu situasi yang dihadapi sejak lebih setahun lalu apabila laluan berkenaan dinaik taraf bagi projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di sepanjang laluan berkenaan.

Tinjauan mendapati, sepanjang laluan dari Beaufort menuju ke Sipitang, keadaan jalan dilihat dalam keadaan kurang baik walaupun usaha untuk menaik taraf jalan berkenaan sedang dilakukan.

Beberapa laluan dalam keadaan tidak berturap kerana sedang dinaik taraf untuk projek Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Beaufort-Sipitang.

Perkara itu kerap kali menjadi bualan netizen apabila keadaan jalan berkenaan ditularkan di media sosial kerana dianggap berbahaya dan merosakkan kenderaan pengguna jalan raya.

Seorang pengguna yang kerap melalui jalan itu, Sharizan, 30-an berkata, keadaan itu berlanjutan sejak lebih setengah tahun lalu dan boleh dikatakan setiap hari ada saja rungutan daripada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Keadaan laluan di Jalan Beaufort-Sipitang.

“Rata-rata merungut berhubung kerosakan kenderaan yang dihadapi pengguna jalan raya seperti tayar pecah dan rim bengkok ketika melalui jalan itu.

“Apabila hujan, keadaan jalan berlumpur dan kalau cuaca kering memang berhabuk tebal. Pada waktu malam pula bahaya sebab tiada lampu amaran dengan keadaan jalan yang berlubang,” katanya, di sini, hari ini.

Tambah Sharizan lagi, walaupun jalan sedang dinaik taraf tetapi perlu ada laluan yang selamat dan diselenggara untuk digunakan pengguna jalan raya.

“Jalan yang dinaik taraf boleh diteruskan namun dalam masa sama pihak yang bertanggungjawab harus menyediakan laluan yang lebih baik untuk digunakan sebagai laluan sementara,” katanya.

Menurut seorang lagi pengguna, Farah, 20-an, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beaufort pun sudah memenatkan ditambah pula perjalanan pulang ke kampungnya di Kampung Weston, yang kini turut terlibat dalam pembinaan Pan Borneo.

“Sepanjang laluan dari Pekan Beaufort hanya sebahagian tempat jalan yang masih dalam keadaan baik, selebihnya seperti berada di era tahun 90-an jalan masih ‘gravel’ untuk pulang ke kampung.

“Saya tidak nafikan baik untuk dinaik taraf laluan ini tetapi saya minta pihak berkaitan dapat melihat kesukaran pengguna apabila melalui jalan ini setiap hari,” katanya.

Terdahulu, tinjauan turut mendapati beberapa kawasan jalan berkenaan sedang giat dinaik taraf dan kerja-kerja membuat laluan Pan Borneo sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, jalan berkenaan tetap menjadi laluan utama bagi penduduk Beaufort dan Sipitang termasuk mereka yang datang dari Sarawak dan Brunei Darussalam.

Sudah tentu pengguna mahukan perjalanan yang lancar di sepanjang laluan berkenan dan diharap pihak berkaitan dapat melihat keperluan ini demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|