Nabawan: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit Felcra, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa Putera Azzalie Sulayul, 25, yang memandu Proton Wira Aeroback, dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaannya sendiri.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/12/WhatsApp-Image-2021-12-27-at-10.22.08-1024x467.jpeg)
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.39 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/12/WhatsApp-Image-2021-12-27-at-10.22.06.jpeg)
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati mangsa tersepit di bahagian luar kenderaannya dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.
“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 pagi.
-Deasoka