Tiga lelaki rugi RM1,000 terpedaya panggilan video lucah

Tiga lelaki rugi RM1,000 terpedaya panggilan video lucah

Kota Kinabalu: Polis daerah ini membuka tiga kertas siasatan berhubung kes pemerasan menggunakan panggilan video lucah sepanjang bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua kes berkenaan membabitkan tiga mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun dengan anggaran kerugian setakat ini berjumlah lebih RM1,000.

Katanya, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan sindiket dari Indonesia yang dikesan aktif menggunakan media sosial dalam menjalankan aktiviti mereka termasuk Facebook, Wechat, Michat dan platform lain.

“Kes pertama dilaporkan pada 18 Disember lalu apabila mangsa berkenaan seorang wanita menggunakan nama akaun ‘Dendrra’ menerusi laman facebook.

“Mereka kemudiannya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp mengajak bersembang cerita lucah dan menunjukkan gambar bogelnya untuk menarik perhatian mangsa,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes kedua dilaporkan berlaku pada 22 Disember lalu apabila mangsa menerima pesanan mesej melalui aplikasi MiChat.

Katanya, suspek kemudian membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp menggunakan talian 011-64128539 sebelum berlaku sesi berbogel antara mereka.

“Kes ketiga juga dilaporkan berlaku pada hari yang sama apabila mangsa berkenalan dengan seorang menerusi laman facebook atas penama Fanesa Aprilia.

“Suspek yang kemudiannya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp kemudiannya mengajak mangsa untuk melakukan onani.

“Mangsa yang terpedaya tidak menyedari aksi tidak senonoh berkenaan dirakam sebelum diugut untuk memberikan wang,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal, tiga nombor WhatsApp yang terbabit dalam ketiga-tiga kes ini adalah +62 812-7287-3427, +62 858-4198-0004 dan +6287897327720.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket yang memperdayakan mangsa menggunakan modus operandi seperti tiga kes berkenaan.

Katanya, sindiket itu mengugut mangsa untuk membuat pemindahan wang menggunakan video yang dirakam ketika sesi panggilan video sebelumnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|