JBPM Sabah siapsiaga hadapi monsun timur laut

JBPM Sabah siapsiaga hadapi monsun timur laut

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah diletakkan dalam keadaan lebih siapsiaga hadapi monsun timur laut bermula esok.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata, kesiapsiagaan itu selari dengan ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang dijangka bermula esok.

Katanya, ia dijangka akan berlaku luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia yang dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

“Keadaan ini berpotensi akan mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain malapetaka berkaitan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan berkenaan diminta untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Md Ali berkata, bagi mereka yang merancang untuk menjalankan aktiviti-aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian di kawasan-kawasan berkenaan juga digalakkan supaya menangguhkannya bagi mengelakkan berlakunya malapetaka di luar jangka.

“JBPM Sabah diletakkan dalam keadaan lebih bersiapsiaga dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi-lokasi strategik dengan lebih awal.

“Ia bagi membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sentiasa akan berkoordinasi dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau Negeri untuk bertindakbalas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, ia selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20, Mekanisme Pengurusan Bencana di Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|