PRU-15: UMNO, BERSATU mula intai kerusi

PRU-15: UMNO, BERSATU mula intai kerusi

Kota Kinabalu: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan lebih awal pada tahun depan, beberapa parti sudah mula mengintai peluang untuk mempertaruhkan calon masing-masing di kerusi yang dilihat berpotensi untuk dimenangi.

Lebih ‘panas’ lagi, persaingan sesama sendiri dalam kalangan parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin tidak dapat dielak terutama di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO yang memang diketahui umum tidak sehaluan di peringkat nasional.

Paling jelas di kerusi Parlimen Tuaran, UMNO secara terang-terangan menawarkan diri untuk bertanding di kerusi itu berasaskan fakta bahawa kerusi berkenaan sebelum ini disandang parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menjadi sekutunya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Di pihak BERSATU pula, asas utama untuk bertanding di kerusi berkenaan berdasarkan pengaruh Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kekuatan akar umbi parti itu seperti didakwa Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Kassim Razali.

Pada Persidangan Perwakilan UMNO Tuaran baru-baru ini, Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuk UMNO menawarkan diri bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

Jelasnya, ketiadaan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) selaku penyandang kerusi Parlimen Tuaran yang meninggalkan BN pada 2018, selain Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini bergerak solo, membuka ruang kepada UMNO untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan.

UMNO mengguna pakai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebelum ini yang tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan ia turut diterima oleh UMNO Sabah dalam menentukan pendirian parti itu pada PRU nanti.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini sudah menjelaskan bahawa ia akur dengan keputusan UMNO Pusat selain menganggap kerjasama melalui GRS hanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bukan untuk PRU.

Di pihak BERSATU, walaupun ia menyuarakan mahu meletakkan calon, parti itu pada masa yang sama masih membuka rundingan bersama rakan parti dalam GRS bagi mengelak pertembungan sesama sendiri pada PRU-15.

Dalam pada itu, difahamkan juga parti lain dalam GRS, khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menunjukkan minat untuk meletak calon di kerusi Parlimen Tuaran berdasarkan kekuatan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kiulu dan Tamparuli yang diwakili parti itu.

Di pihak pembangkang, UPKO selaku penyandang kerusi berkenaan melalui Presidennya, Datuk Madius Tangau sudah pasti mahu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan walaupun ramai melihatnya sebagai sesuatu yang sukar berikutan kemarahan rakyat atas tindakan Madius ‘menjatuhkan’ kerajaan BN pada 2018.

Selepas PRU-14, Madius mengumumkan keputusan parti itu meninggalkan BN untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama dengan beberapa lagi bekas pemimpin UMNO yang keluar parti bagi membentuk kerajaan negeri pimpinan WARISAN.

Selain Tuaran, kerusi Parlimen Beaufort yang kini disandang Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun juga menjadi kerusi ‘panas’ kerana mungkin menyaksikan pertembungan di antara calon BERSATU dan UMNO.

Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian itu baru-baru ini secara jelas menyuarakan keputusan UMNO bahagian untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15 dengan mengambil kira kedudukan Beaufort sebagai kerusi tradisinya.

Pada PRU-14, Azizah memenangi kerusi Parlimen Beaufort atas tiket BN mewakili UMNO tetapi meninggalkan parti bersama beberapa bekas pemimpin UMNO negeri yang lain pada akhir 2018 sebelum menyertai BERSATU yang secara rasmi bertapak di Sabah pada April 2019.

Selain Tuaran dan Beaufort, pertembungan sesama rakan dalam GRS khususnya UMNO dan BERSATU dijangka turut berlaku di kawasan Parlimen lain, terutama dengan mengambil kira kenyataan Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, yang menyatakan kemungkinan UMNO-BN bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU-15.

Parti lain dalam GRS termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga sudah mula mengintai kerusi yang mahu ditandingi selain mempertahankan kerusi disandang parti itu di Parlimen Keningau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|