Minyak masak bernilai RM98,870 dirampas

Minyak masak bernilai RM98,870 dirampas

Semporna: Cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi gagal selepas kegiatan berkenaan dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan tapak jualan Jalan Pinggir Bakau, Kampung Selamat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, pasukan operasi yang bertindak atas maklumat awam berjaya mengesan sebuah lori yang membawa barang kawalan berkenaan.

Bagaimanapun, seorang lelaki yang memandu bertindak menghilangkan diri ke kawasan bakau berhampiran menyedari kehadiran pihak polis.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, usaha menahan suspek tidak berjaya berikutan keadaan semak samun dan keadaan sekeliling yang gelap.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa sebanyak 73 kotak berisi 1,241 kilogram minyak masak Cap Daun dan 227 kotak berisi 3,859 kilogram minyak masak Cap Rusa Terbang.

“Jumlah minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM 97,870 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua minyak masak berkenaan dirampas kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|