PGA tahan enam PATI bersama syabu

PGA tahan enam PATI bersama syabu

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah Sabah menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan yang dijalankan terhadap sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Terap, Mamahat, Beluran, di sini, semalam.

Operasi yang diarahkan Pegawai Pemerintah Batalion (BN) 20, Pasukan Gerakan Am, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa jam 3.30 petang itu, turut merampas dadah jenis syabu.

Komander Briged Sabah PGA , Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan maklumat yang mendapati rumah berkenaan didiami oleh kumpulan PATI.

Antara suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, sebaik diserbu, polis berjaya menahan enam lelaki berusia 16 tahun hingga 60 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu beg silang berisi tiga balutan plastik ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu namun tidak seorangpun yang mengaku sebagai pemiliknya.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang daripada PATI yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dadah syabu serta peralatan yang dirampas.

Mohd Abduh berkata, semua PATI dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Bn 14 PGA Tawau turut menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah.

Mohd Abduh berkata, suspek berusia 43 tahun yang dikesan dalam keadaan mencurigakan ditahan di Simpang 3, Kampung Apas, di sini, untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui sembilan paket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 6.62 gram yang dianggarkan bernilai RM810 daripada suspek.

“Suspek terus ditahan sebelum diserahkan ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|