KOTA KINABALU: Seramai 250 bekas kakitangan Sabah Ports Authority menghadiri Sabah Ports Authority Ex-Staff Reunion 2026 yang berlangsung di Sabah Golf & Country Club, Bukit Padang, di sini pada Ahad lalu.
Majlis yang diadakan dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang itu menghimpunkan mantan Pengerusi, Pengurus Besar, Pengurus Pelabuhan, pegawai kanan serta kakitangan yang pernah berkhidmat dengan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dari tahun 1968 hingga 2003 sebelum diswastakan pada tahun 2004.
Antara kenamaan yang hadir ialah YB Datuk Dr Maijol Mahap, ADUN Bandau merangkap Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan, serta Dato’ Abdul Samad Mohammed yang merupakan mantan Pengurus Besar LPPS dan juga mantan Ketua Eksekutif Northport (Malaysia) Bhd. Turut hadir ialah Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin dan Datuk V Jothi.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Dr Johnson Tee dan Haji Mohd Y Ibrahim selaku mantan Ahli-Ahli Pengarah LPPS, selain Mr James Lee.
Dalam kalangan mantan Pengurus Besar LPPS yang hadir termasuk Mr Pius Lee, Datuk James Sabinus, Datuk Dr Haji Ramli Amir, Datuk Mayong Omar, Datuk Maisuri Besri, Haji Mohd Tahir Lasuki, Mr Felix Liangson dan Mr Khairi Alias.
Selain itu, Datuk Mohd Sahid Nawab Khan turut hadir memeriahkan majlis tersebut.
Penganjuran reunion ini bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan bekas kakitangan lembaga yang telah bersara, selain memberi peluang untuk mereka bertemu dan bersemuka semula dengan rakan sekerja lama selepas tempoh perpisahan antara 10 hingga 30 tahun. Dalam masa sama, majlis ini turut menjadi platform kepada bekas kepimpinan tertinggi atau “ex big bosses” untuk berkongsi pengalaman bersama bekas kakitangan bawahan yang pernah berkhidmat suatu ketika dahulu.
Pertemuan ini juga menjadi ruang untuk semua bekas kakitangan tanpa mengira jawatan untuk saling bermaafan serta bergembira bersama, di samping meneruskan hubungan persahabatan dan setiakawan sehingga ke akhir hayat. Suasana majlis turut diselubungi rasa hiba apabila mengenang rakan-rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia.
Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai pengisian diadakan termasuk ucapan dan perkongsian pengalaman daripada mantan Pengerusi dan Pengurus Besar LPPS, cabutan tiket bertuah, tayangan klip video yang memaparkan gambar kakitangan semasa muda, ketika mula berkhidmat, selepas bersara serta di usia lanjut, selain tayangan khas mengenang kakitangan yang telah meninggal dunia. Majlis turut diakhiri dengan jamuan makan serta penyampaian hadiah kenang-kenangan kepada para hadirin.
Reunion ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan semula, malah mencerminkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan warga pelabuhan Sabah yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pelabuhan negeri sejak sekian lama.
