Sandakan: Seorang lelaki warga Filipina diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup masuk 4,800 telur penyu di perairan daerah ini, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 4 petang itu, bot berkenaan dikesan bergerak dari Pulau Taganak cuba memasuki perairan Sandakan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukan operasi yang menyedari kehadiran bot berkenaan terus mengejarnya untuk pemeriksaan.
Katanya, sebaik berjaya dipintas, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang lelaki berusia 28 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut menemui 19 plastik berisi telur penyu yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.
“Selain itu, pasukan operasi turut menemui 14 tong jerikin kosong dipercayai untuk digunakan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi dari daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, semua barang rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM14,940.
Katanya, barang rampasan dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti klasifikasi kes untuk tindakan pendakwaan,” katanya.
-Deasoka