JKNS nafi organ dalaman jenazah warga Indonesia diambil

JKNS nafi organ dalaman jenazah warga Indonesia diambil

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan organ dalaman jenazah seorang warga Indonesia yang meninggal dunia di negeri ini awal bulan ini diambil ketika bedah siasat sebelum mayat dihantar pulang ke negara berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata, tiada organ pesakit yang diambil seperti yang didakwa dalam berita yang disiarkan sebuah stesen televisyen negara itu dan disebarkan melalui laman YouTube sejak kelmarin.

Beliau menjelaskan, jenazah pesakit yang bernama Saidiman Hamal, 38 tahun yang berasal dari Indonesia itu dijumpai mati di atas kapal pada 1 Disember lalu sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat dilakukan pada 7 Disember lalu atas arahan pihak polis dan ia adalah prosedur yang ditetapkan bagi semua kes kematian yang dibawa ke hospital atau Brought In Daed (BID).

“Pihak hospital dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pesakit ini tidak mempunyai waris terdekat di Malaysia. Walaubagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan beberapa orang yang mengaku saudara kepada pesakit dan mereka juga kenal dengan waris terdekat di Indonesia. Salah satu saudara tersebut telah melakukan pengecaman mayat sebelum mayat dibedah siasat.

“Pegawai Perubatan Forensik yang mengendalikan bedah siasat telah menerangkan kepada saudara pesakit terbabit bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil untuk dibawa ke makmal untuk menentukan punca kematian.

“Tiada organ pesakit yang telah diambil seperti mana yang didakwa dalam berita dan semua organ telah dikembalikan bersama mayat. Setiap sampel yang diambil adalah berukuran dalam lingkungan 1 inci x 1 inci.

“Pegawai perubatan tersebut juga telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada beliau (saudara pesakit). Beliau faham dengan penerangan yang telah diberikan dan akan menyampaikan informasi tersebut kepada waris terdekat pesakit di Indonesia. Punca kematian adalah jangkitan paru-paru dengan sakit jantung (Pneumonia with ischemic heart disease),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pihak majikan kemudian menguruskan untuk membawa jenazah kembali ke negara asal dan mayat pesakit diberikan kepada saudara pesakit dan syarikat pengurusan jenazah 3M pada 17 Disember lalu.

Katanya, jenazah juga dibawa ke masjid untuk dimandikan dan dikafankan sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan selamat tiba di Indonesia pada 20 Disember lalu.

“Jabatan ini menyuarakan rasa simpati terhadap ahli keluarga pesakit. Sehubungan dengan itu, semua urusan bedah siasat dan proses pengembalian mayat kepada ahli keluarga telah dibuat mengikut kepada garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini tular satu video mengenai berita dari Indonesia bertajuk ‘Jenazah TKI Dipulangkan Dari Malaysia Tanpa Organ Tubuh’ berkaitan jenazah seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa diambil organnya sebelum dihantar pulang ke negara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|